Wednesday, August 26, 2009

At-Taghabun - Hari yang dinampakkan kerugian-kerugian

Assalamu'alaikum,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Setelah sekian lama saya tidak menulis di sini, tiba-tiba pagi ni saya terpanggil untuk berkongsi tentang perkara ini. Salam Ramadhan 1430 untuk semua, walau pun agak terlambat, saya masih mahu mengucapkannya, semoga kita semua di bawah keberkatan, kerahmatan dan keampuanan Allah, dunia dan akhirat.

Selepas solat subuh tadi, saya sampai ke surah ini, surah ke-64 At-Taghabun. Apabila tiba ayat ke-11, saya tiba-tiba tertanya-tanya apakah maksudnya, apakah yang Allah mahu sampaikan melalui Rasulullah s.a.w. dengan surah ini. Saya tidak tahu berbahasa arab, cuma tahu sepatah dua, perkataan arab 'musibah' itu menarik perhatian saya. Jadi selepas itu saya merujuk kepada http://www.quranexplorer.com/quran/ .

Inilah teks penuh, terjemahan dalam Bahasa Melayu dari ayat 11 hingga 17, semuga bermanfaat untuk kita semua.

11. Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


12. Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.


13 Allah, tiada Tuhan melainkan Dia dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang beriman wajib berserah diri.


14 Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


15 Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.


16 Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.


17 Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).


Nota:
1. Jangan salah faham yang saya sudah begitu cepat bertilawah Al-Quran hingga ke surah ini mulai awal Ramadhan, sebenarnya saya sambung saja dari dari tempat saya baca walaupun sudah masuk bulan Ramadhan.

2. Jangan cuba tafsirkan apa yang saya mahu cakap dari ayat-ayat ini, tapi tafsirkan apakah yang Allah mahu sampaikan kepada kita semua.

3. Maaf dipinta untuk semua kesilapan saya, sengaja atau tidak.

Allahu'a'lam. Wassalam.

::truemax