Saturday, May 30, 2009

Hari Untuk Mu

Assalamu'alaikum,

Entri ini saya tulis khas buat kekasih tersayang.

Hari ini ialah tarikh keramat untuk kita, 30 May. Tentunya ku tidak lupa.. walaupun kekadang aku buat-buat lupa, itu tentunya sebab sedang memikirkan apa yang patut aku ucapkan atau lakukan. Tarikh itu sememangnya istimewa buat kita, 15 tahun yang lalu, ya 15 tahun! Sudah 15 tahun sebenarnya!

Pertama, ku ucapkan berbanyak syukur yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang telah menemukan kita kira-kira 19 tahun yang lalu. Syukur juga kepada Allah yang telah permudahkan untuk kita sejak dari itu.

Kira-kira 19 tahun lalu kita sama-sama dalam kelas Pengajian Sains Komputer Tahun 1, Universiti Sains Malaysia. Siapakah itu si gadis bertudung lebar berwarna putih, dengan sanggul yang masih nampak bentuknya walau cuba disembunyikan.

"Milik siapakah gadis ini, wajah lembut bagaikan sutera, ingin aku mencurahkan kasih kepada yang sudi, adakah dia sudi" - Milik Siapakah Gadis Ini, Sudirman.

Sejak dari itu...

"Debaran penuh makna kelu tidak terkata sering kali terjadi bila kau di sisi
Namun ia pasti membuat ku jatuh hati Oh! manisnya, manisnya senyumanmu"

"Mata bertentang mata adakah kau terasa cinta kian memekar dihati kita
Kau istimewa paling utama yang satu, betapa manisnya senyumanmu"
- Manisnya Senyumanmu, Elite.

Ketika itu aku sudah jatuh cinta, cinta pada mu. Ya, 19 tahun yang lalu aku memilih mu!

Ingat tak lagi, kita selalu berjalan ke hulu dan ke hilir dalam kampus universiti. Pasangan ideal lah kiranya kita masa tu.
Ingat tak lagi, kita selalu makan di gerai tepi parit di Gelugor, Nasi Goreng Barcelona.
Ingat tak lagi kita sanggup berjalan jauh ke gelugor, jauh nya tak terasa bila kau di sisi.
Ingat tak lagi, semasa makan bersama kita selalu membahagi-bahagikan lauk untuk jimat duit. Hmmmm, sekarang pun kita masih amalkan tu lagi kan.

Mana boleh dapat insan seperti mu, 1 dalam 10000, kalau bernasib baik, dan aku sememangnya bernasib baik. Walau minat kita berbeza, kau senantiasa menyokong minat ku, menemani ku bila berkesempatan, baik ke litar lumba di Sepang atau ke padang untuk Helikopter Kawalan Jauh dan lain lain lagi.

Manakala minat mu yang berbeza dari ku itu pula banyak memanafaat kan keluarga kita, agaknya boleh di kira dengan jari bilangan baju kurung yang di beli siap, yang lain semuanya kau jahit sendiri termasuklah baju-baju raya yang berpasang-pasang, waima baju raya ku pun pernah kau jahiti juga. Kepandaian kau memasak memang tidak dapat dinafikan.. ikut kan hati ingin ku makan 3 pinggan penuh sebagaimana ku buat pada tahun tahun yang awal dulu, tapi sekarang tak boleh begitu lagi, perlu jaga kesihatan. Makanan kegemaran ku juga kau telah berjaya menguasainya, laksa kelantan, solok lada, masak lemak telur itik dan sebagainya. hmmm.. best best.. tu memang best.

Lagi, kau amat bersopan-santun, berbudi bahasa, tak pernah meninggikan suara terhadapku, pandai menguruskan rumah dan anak-anak, pantang tengok bahagian rumah yang bersepah, tentunya tak lama akan tersusun semula.

Banyak lagi kualiti mu yang tak mungkin dapat ku senaraikan dan huraikan di sini.
Wahai kekasih ku, kekasih awal dan akhir, isteri mithali ku tersayang, Norhazah. 30 May 1994 tarikh kita, 15 tahun yang lalu. Terima kasih dari ku, untuk semua itu.

"Tak ku harap, tak ku peduli walau bulan jatuh ke bumi, dan hadir bidadari tak ku impikan lagi, kerana kau lebih mengerti.." - Kekasih Awal Dan Akhir, Jamal Abdillah.

Semoga kita kan terus berbahagia dan dipermudahkan oleh Allah dunia kita dan akhirat kita juga. Amiin.

"Selagi ada hayat ini, ku junjung kebahagian mu, tapi bila sampai waktu ku, doa dan restu ku, menjaga mu selalu" - Kehadiranku, Sudirman

Dan satu lagi lagu.. khas untuk mu..

::truemax

Friday, May 29, 2009

Saya Suka... Memandu

Assalamu'alaikum,

Saya suka.. hmm banyak benda saya suka, salah satu yang saya paling suka ialah Memandu. Memandu dalam keadaan segar, jalan yang baik dan tenang, bagi saya itu tidak kisah. Malah jika berpeluang saya akan tawarkan diri untuk memandu walaupun dengan kenderaan orang lain. Baru baru ini saya kerap memandu ke sana ke mari, sebelumnya ke Ipoh, kemudiannya Skudai Johor, dan kemudian lagi ke Kampung Parit Pulai, sebanyak 2 kali.

Akan tetapi, jika jalan yang sesak atau pun jarak perjalanan yang jauh, ia akan memberi tekanan yang lebih, dan kan lebih cepat 'penat', bosan dan mengantuk.

Bagi saya, musuh utama saya ketika memandu ialah mengantuk. Walaubagaimana pun, saya sudah jumpa satu cara untuk menghilangkan mengantuk itu. Bagaimana? Makan kuaci. Setelah beberapa lama, sekarang ini saya sudah boleh menguasai 'skill' memakan kuaci dengan sebelah tangan.

Antara kebaikan memakan kuaci semasa memandu ini berbanding dengan aktiviti menghilangkan mengantuk yang lain ialah:
1. Perlukan usaha untuk memakan membuka, mengambil isinya dan menbuang kulit ke dalam bekas yang di sedia kan. Ini akan menghilangkan rasa mengantuk.
2. Menguyah kuaci itu, walau pun kecil, juga menghilangkan mengantuk.
3. Saiz nya yang kecil, walau dimakan banyak, ia tidak mengenyangkan dan tidak menambah berat badan :)
4. Ia menganbil masa untuk dibuka dan dimakan, jadi ia lambat habis. Saya packet biasa rasanya boleh tahan untuk 5 jam atau lebih memandu, sekali lagi, tanpa mengenyangkan dan menggemukkan.

Tetapi ia juga ada masalah tersendiri:
1. Kulitnya amat senang hancur dan susah untuk pastikan masuk ke bekas yang disediakan, jadi agak bersepah jadinya kereta.
2. Perlukan skill, pada mulanya agak susah, jadi amat bahaya jika ia boleh mengganggu pemanduan kereta itu sendiri. Jadi berhati-hatilah jika kamu mahu cuma.

From - Life Is Full of Magic - Kehidupan Yang Penuh Keajaiban


From - Life Is Full of Magic - Kehidupan Yang Penuh Keajaiban


Jadi, rasanya inilah yang terbaik untuk saya buat masa ini, kerana saya memang tidak suka makan gula-gula, chewing gum dan sebagainya. Kamu bagaimana? Mungkin ada cara yang unik dan lebih baik. Silalah kongsikan..

Wassalam.

::truemax

Thursday, May 28, 2009

Al-Fatihah Untuk Hj Salleh bin Hj Tahir

Assalamu'alaikum,

Setiap yang bernyawa pasti akan mati [Ali Imran, 185].

Pada 24 May 2009, jam 2.04 pm, Ayahanda mertua saya Mungawan @ Hj Salleh bin Hj Tahir sudah dijemput ke Rahmatullah di rumahnya di Parit Pulai. Semoga Allah terus mencucuri rahmat atasnya dan golongkan dia bersama dengan orang-orang yang soleh.

"Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, berilah kesejahteraan dan ma'afkanlah dia".

From - Life Is Full of Magic - Kehidupan Yang Penuh Keajaiban



Sekarang dia, nanti kita pula.

Wassalam.
::truemax

Wednesday, May 13, 2009

Kiub Truemax

Assalamu'alaikum,

Entah mengapa begitu liat sekali saya dari menulis di blog ini. Tajuknya ada, kandungannya juga sudah ada, cuma tinggal untuk perturunkan (atau pun muat-niak kan) sahaja di sini. Agaknya masa amat mencemburui saya. Saya penuh dengan aktiviti-aktiviti lain yang saya kira lebih penting atau pun lebih seronok dari menulis di blog ini. Maaf kan saya wahai blog ajaib.

Kiub Truemax, hmmm sebenarnya namanya ialah "Rubic's Cube" atau jika diterjemah kepada Bahasa Melayu Kiub Rubic. Akan tetapi sebab saya sudah membelinya dengan akad yang halal, kiub itu sudah menjadi kepunyaan saya, jadi Kiub Truemax lah kan.

Trend baru agaknya, di sekolah anak saya (sekolah berasrama), kawan-kawannya ada membawa dan bermain permainan ini. Jadi apa lagi, sememangnya saya sudah ada satu dan dulu semasa saya bersekolah di asrama seorang senior saya telah mengajarkan saya bagaimana untuk menyelesaikannya.

Sekarang, saya mula mengajar anak saya untuk 'menyelesaikan masalah warna' itu. Di ruangan ini saya mahu berkongsi dengan semua pembaca cara saya, bagaimana menyelesaikannya untuk membuat setiap mukanya mempunyai warna yang sama. Ia tidak lah susah seperti yang disangka, tetapi perlukan juga kegigihan dan kesabaran. Memang begitu adat belajar.

Baiklah. Langkah-langkahnya ialah seperti berikut:

1. Sama kan warna satu muka dahulu. Cara untuk mendapatkan ini perlu belajar sendiri. Jika ada orang untuk tunjukkan lebih bagus dan akan lebih cepat.

2. Pastikan warna kawasan-kawasan tepi pada muka tersebut sama dengan yang tengah bagi tepi nya. Perhatikan barisan warna kuning dan barisan warna oren di bahagian atas dalam gambar di bawah.


Langkah-langkah 1 dan 2 di atas adalah asas yang paling penting, dan agaknya yang paling susah untuk dipelajari jika kamu tidak biasa dengan puzzle ini.

Kemudian daripada itu, kamu cuma perlu untuk mengikut 'formula' yang saya tuliskan berikut.
Mula-mula, pusing kiub dan letakkan kawasan yang sudah siap (daripada contoh di atas, permukaan hijau) di bawah sebagai tapak.

Perhatikan gambar disebelah kiri. Pada keadaan itu perlu melaksanakan formula yang tertulis di kertas yang saya scan di bawah ini.
T=Top, R=Right, L=Left, F=Face, B=Back, dan anak panah ialah arah kawasan itu perlu diputarkan. (klik gambar untuk besarkan)

From - Life Is Full of Magic - Kehidupan Yang Penuh Keajaiban




Itu sahaja.

Nota:
1. Formula ini agak lain dari yang lain kerana saya perlu memikirkannya sendiri setelah saya terlupa bagaimana membuatnya kira-kira 15 tahun yang lalu. Jadi bagi yang pernah belajar, sememangnya ia lain dari biasa. Sejak itu saya tidak lupa lagi :)
2. Formula ini saya tulis semula 2 minggu lepas di kampung, semasa mahu mengajar anak saya - 'malas' nak tulis/taip semula.
3. Terdapat perbagai cara untuk menyelesaikan masalah ini, dan ada cara yang membolehkan penyelesaian kurang dari 20 saat. Sudah tentunya yang itu memerlukan formula lain yang lebih kompleks dan lebih susah untuk diperlajari. Err yang tu saya tak reti. :)
4. Ajaib tak? Memang ajaib, sesiapa yang pernah mencuba sendiri akan tahu betapa sukar dan kompleksnya. Tapi jika kena gaya dan langkahnya ia tidak susah. Begitu juga dalam perbagai bidang yang dipelajari di dunia ini. Jadi jangan putus asa, fokus kepada bidang anda!


Saya akan cuba menjawab pertanyaan kamu, jika ada.

Sekian, wassalam

::truemax